Siapa lagi kalau bukan manusia hebat bernama Khalid Al-Walid yang digelar
Pahlawan Pedang Allah. Dia adalah pedang dari pedang-pedang Allah!
Insan bergelar ‘Saifullah’ ini bukan sahaja hebat dalam ilmu
mempertahankan diri dan taktik ketenteraannya, tetapi seorang insan yang
sangat teguh imannya dan kental semangat juangnya disamping mempunyai
kebijaksanaan yang luar biasa dalam memastikan kemenangan selalu berada
di pihak tentera islam pada setiap kali peperangan yang dipimpin
olehnya.
Bermula dengan penentangan yang cukup keras terhadap Nabi Muhammad saw
dan islam. Dengan ketangkasan dan kecekapan berkudanya beliau memimpin
tentera Quraisy mengalahkan tentera islam dalam Perang Uhud pada tahun
ke-3 Hijrah. Khalid terus memusuhi islam sehingga tahun ke 6 Hijrah
dimana selepas itu dia mula menerima cahaya kebenaran islam lalu memeluk
agama islam.
Khalid menyertai Perang Muktah dimana 3000 orang tentera islam melawan
200,000 orang tentera Rom.Perang yang menyaksikan gugurnya panglima
tentera islam bernama Zaid Bin Harithah yang juga anak angkat Nabi
Muhammad saw. Selepas ditikam dengan tombak didadanya Panji-Panji Nabi
Muhammad saw diserahkan kepada Jaafar bin Abu Talib. Bila tangan kanan
Jaafar putus ditetak, dia pun melepaskan senjata ditangan kirinya lalu
memegang Panji-Panji Nabi Muhammad saw di tangan kirinya. Bila tangan
kirinya pula ditetak, dia mengepit Panji-Panji itu dengan kedua
lengannya yang telah putus itu sambil berkata :
“Panji-panji Nabi Muhammad ini lebih berharga daripada nyawa saya!”,
selepas itu datang seorang tentera Rom dari arah belakang lalu menetak
Jaafar sehingga badannya terbelah dua, namun panji panji itu berjaya
diselamatkan dari tangan musuh oleh Abdullah bin Rawahah setelah tentera
Rom itu dibunuh oleh Khalid Al-Walid. Abdullah juga akhirnya syahid dan
panji-panji Nabi Muhammad saw dipegang oleh Thabit bin Arqad.
Setelah 3 orang panglima islam tiga serangkai gugur syahid, maka
panji-panji perang beralih ke tangan Khalid Al-Walid pula lalu
bermulalah era kegemilangan dan kehebatan Pahlawan Pedang Allah ini
dalam memimpin hampir 100 siri peperangan selepas itu untuk menegakkan
syiar islam dan kalimah tauhid yang suci di muka bumi ini!
Setelah kewafatan Rasulullah saw, Khalid Al-Walid ditugaskan oleh
Khalifah Abu Bakar r.a untuk membenteras gejala murtad dan nabi palsu.
Beliau pernah mengalahkan nabi palsu iaitu Musailamah al-kazab.Taman
Syurga Musailamah yang menjadi tempat berlindungnya kumpulan pengikut
ajaran sesat itu bertukar menjadi taman maut. Seramai 12,000 orang
tentera Musailamah terbunuh manakala 600 orang tentera islam gugur
syahid.Musailamah maut setelah direjam oleh lembing Wahsyi, tentera
islam yang sebelum keislamannya pernah membunuh Saidina Hamzah r.a dalam
perang Uhud dengan cara yang sama! Wahsyi telah berjihad dengan sepenuh
jiwa dan raganya disamping ingin menebus kesalahannya yang lalu ketika
dia masih belum memeluk islam.
Sewaktu ingin berperang dengan tentera Parsi, tentera islam dibawah
pimpinan Khalid Al-Walid sukar mendapat bekalan air setelah semua
kawasan sumber air dikepung oleh musuh.Tentera Parsi dibawah pimpinan
Panglima Hurmuz sengaja tidak menyerang kerana mereka mahu melihat
tentera islam mati kehausan tanpa menggunakan senjata. Disaat genting
itulah Pahlawan Pedang Allah ini meminta Ibnu Abbas mendirikan solat
hajat kepada Allah swt minta hujan.Doa Ibnu Abbas diaminkan oleh 20,000
orang tentera islam di makbulkan Allah.Cuaca yang cerah dan panas
tiba-tiba redup lalu hujan pun turun dengan lebat selepas itu!
Sehinggakan lembah tempat sumber air yang dikepung musuh menjadi
banjir.Musuh menjadi kelam kabut malah ada yang mati lepas selepas itu.
Selepas itu Khalid mengutus sepucuk surat kepada Panglima Parsi yang berbunyi :
“
Kepada semua tentera Parsi.Peluklah agama islam, nescaya kalian
akan selamat ataupun pilihlah hak sebagai zimmah (kafir yang dilindung)
dengan membayar jizyah (cukai perlindungan).Sekiranyan kalian enggan,
jangan salahkan sesiapa, tetapi salahkan diri sendiri kerana kami datang
dengan tentera yang menyintai mati sebagaimana kalian mencintai hidup”
Hurmuz sangat marah dan begitu sombong kerana tidak mahu menerima cahaya
kebenaran islam, malah telah menggantung sebilah pedang ke leher utusan
Khalid sebagai balasan kepada surat itu.Selepas itu Panglima tentera
Parsi , Hurmuz yang sombong , kebal dan tidak pernah tewas di medan
tempur itu akhirnya telah tewas oleh tetakan mata pedang Saifullah di
medan perang! Selepas itu panglima tentera Parsi bernama Rustam juga
mati terjatuh kedalam sungai Dajlah ketika sedang bertarung dengan
Khalid dalam siri pertempuran kedua dengan tentera Parsi, hampir 30,000
orang tentera musuh terbunuh.Dalam siri peperangan ketiga, panglima
Parsi Indrazaghur dan dan Bahman melarikan diri dari medan perang ketika
melihat amukan dan asakan tentera islam yang begitu hebat hingga
tentera musuh berundur ke tebing sungai Tigris dan Euprates!Ada tentera
musuh yang sanggup terjun kedalam sungai untuk menyelamatkan diri!
Antara bait puisi yang ditulis oleh bekas tentera islam yang cedera dan
dihantar pulang oleh Khalid iaitu Abu Makran Aswad dalam menceritakan
kehebatan tentera islam di medan tempur berbunyi :
“Kami tempuhi hari-hari di Allais dengan gempita,
Singa-singa jantan bertempur gagah,
Belum pernah aku menyaksikan perang
dasyat seperti itu,
Antara tokoh tokoh terbesar,
Kami membunuh tujuh puluh ribu,
Saki-baki yang hancur menjadi tawanan..”
Dia pernah meminum racun yang sangat bisa dari tangan musuh untuk
membuktikan keimanan dan tawakkalnya kepada Allah SWT dan sebagai satu
cara dakwah dengan berkata bahawa racun itu tidak mampu berbuat apa-apa
kecuali dengan izin Allah SWT, benar seperti apa yang dikatakan oleh
Khalid, tidak ada apa-apa mudharat yang menimpa keatas dirinya selepas
meminumnya membuatkan pemilik racun itu, Ibnu Baqilah tercengang
kehairanan, namun Ibnu Baqilah masih belum menerima cahaya hidayah
islam.
Satu lagi peperangan di Firadh, tentera yang dipimpin oleh Khalid
Al-Walid telah berjaya membunuh paling ramai musuh.Kata ahli sejarah
Tarikh al-Tabari :
“Seramai 100,000 orang tentera musyrikin terbunuh.Inilah pertempuran yang membunuh paling ramai musuh”.
Peperangan Yarmuk, iaitu peperangan tentera islam menentang Tentera Rom,
setelah Khalid Al-Walid berjaya menundukkan Kekuasaan Parsi benar-benar
menguji kekuatan emosi dan spiritual panglima agung ini.
Dalam Perang Yarmuk, tentera islam seramai 40,000 orang mampu
mengalahkan tentera musuh sebanyak 6 kali ganda iaitu seramai 240,000
dimana seramai 50,000 tentera musuh maut manakala hanya 3000 orang
sahaja dari tentera islam yang mati syahid.
Sebelum perang bermula, tampil seorang pahlawan dari tentera Rom yang
bernama Gergorius mencabar Khalid berlawan satu lawan satu
dengannya.Cabaran itu disahut oleh Khalid.Ketika mereka berhenti rehat
seketika, maka terjadilah dialog antara mereka seperti dibawah :
Gergorius : saya mahu bertanya kepada saudara.
Khalid : silakan.
Gergorius : benarkah saudara mendapat gelaran pahlawan pedang Allah ?
Khalid : benar.
Gergorius : benarkah Tuhan turun dari langit dengan membawa sebilah pedang lalu diserahkan kepada saudara?
Khalid : tidak benar !
Gergorius : mengapa saudara digelar pahlawan pedang Allah?
Khalid : Tuhan mengutus seorang nabi dikalangan kami.Pada mulanya, saya
juga menentang Nabi Muhammad, tetapi kemudian saya mendapat petunjuk
daripada Tuhan lalu menjadi penyokong setia baginda.Pada suatu hari,
Nabi Muhammad berkata saya adalah sebilah pedang daripada pedang-pedang
Tuhan yang terhunus kepada kaum musyrik.
Baginda berdoa kepada Tuhan supaya saya menang dalam peperangan
menegakkan agamanya.Kemudian saya diberi gelaran Pedang Allah.Sejak itu
saya bersikap keras terhadap mereka yang menentang islam.
Gergorius: Apa yang saudara seru kepada manusia semasa menjalankan tugas?
Khalid : saya menyeru supaya mereka mengaku tiada Tuhan yang disembah selain Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah.
Gergorius: Sekiranya hari ini ada orang menerima seruan saudara dan
memilih tawaran menerima islam, apakah taraf kedudukan orang itu
dikalangan saudara sekalian?
Khalid : Kedudukannya setaraf dengan kami tanpa mengira sama ada orang itu mulia, hina, miskin atau kaya.
Gergorius : Apakah orang yang baru memeluk agama saudara pada hari ini mendapat pahala dan kedudukan yang sama dengan saudara?
Khalid : mereka lebih mulia daripada kami.
Gergorius : mengapa?
Khalid : Kami hidup pada zaman Nabi dapat melihat mukjizat baginda.Kami
menyaksikan sendiri dengan keajaibannya.Ada juga yang tidak pernah
bertemu dengan Nabi Muhammad dan belum pernah menyaksikan mukjizat
baginda, namun mereka tetap menerima agama kami dengan jujur dan ikhlas,
maka mereka lebih mulia dari kami.
Gergorius : Demi Tuhan, saya menyahut seruan saudara.Saya mengaku tiada
Tuhan yang disembah selain Allah dan Nabi Muhammad pesuruh Allah.
Khalid terkejut bercampur gembira.Muka mereka berseri dan
bercahaya-cahaya.Mereka terus bersalam-salaman .Kejadian tersebut
berlaku sekelip mata di medan tempur dan kedua-dua belah pasukan tentera
terpegun seketika!, Maha Suci Allah yang memilih siapa sahaja dari
hambanya untuk menerima cahaya hidayah.
Peristiwa di atas menimbulkan kemarahan Theodore, Panglima besar Rom
yang juga merupakan adik kepada Maharaja Rom, Hercules.Tentera Rom
ketika itu berjumlah 240,000 orang; 80,000 orang tentera berkuda dimana
terdapat 100 ekor gajah dikalangan mereka, 80,000 orang tentera berjalan
kaki dan 80,000 orang tentera yang kakinya dirantai!
Kecerdasan emosi dan spiritual Khalid Al-Walid terserlah ketika
menghadapi ujian getir ketika tentera islam ingin bertempur dengan
tentera Rom.Utusan dari khalifah sampai membawa dua berita.Berita
pertama ialah berkaitan dengan kewafatan Khalifah Abu Bakar pada 23
jamadilakhir bersamaan 13 hijrah.Berita kedua ialah perlantikan Khalifah
islam kedua iaitu Khalifah Umar sekaligus memecat Khalid sebagai Ketua
Panglima tentera Islam dan digantikan oleh panglima Abu Ubaidah bin
Jarah.Khalid tidak pun merasa sedih atau merajuk dengan keputusan
itu.Setelah bermesyuarat dengan Abu Ubaidah, mereka merahsiakan dulu
kedua-dua perkara tersebut dari pengetahuan tentera islam, malah Abu
Ubaidah menyerahkan tanggungjawab memimpin tentera islam kepada Khalid
buat sementara waktu sehingga peperangan selesai. Akhlak dan
keperibadian Khalid yang tinggi menyebabkan Abu Ubaidah menangis!. Kata
Abu Ubaidah :
“saya malu menerima jawatan itu kerana ada yang lebih layak daripada
saya di kalangan kita. Jawatan bukannya lambang kemegahan, tetapi
tanggungjawab.Sekiranya tidak mampu ditunaikan, ia menjadi tanggungjawab
di dunia dan akhirat.Saya berasa tidak layak memegang jawatan yang
penting itu”
Khalid memimpin 40,000 orang tentera islam menewaskan 240,000 tentera
Rom. 50,000 orang tentera Rom mati dan hanya 3,000 orang tentera islam
yang gugur syahid.Panglima Gergorius gugur syahid setelah dibunuh oleh
bekas rakannya Panglima Theodore manakala Panglima Theodore pula maut
ditangan Khalid, Pahlawan Pedang Allah!
Kekalahan tentera Rom kepada tentera islam amat mengejutkan dan
memalukan Maharaja Rom iaitu Maharaja Hercules.Bila ditanya sebab-sebab
kekalahan mereka, seorang tentera Rom menjawab :
“ Tuanku, tentera kita berperang dengan satu kaum yang berpuasa di siang
hari dan beramal ibadat pada waktu malam.Mereka berpegang teguh pada
janji, saling berkasih sayang sesama mereka bagaikan saudara. Mereka
sentiasa mengerjakan kebaikan dan tidak melakukan kemungkaran. Tentera
kita pula suka minum arak, melakukan zina, selalu mungkir janji, suka
berbuat jahat, dan melakukan kezaliman.Disebabkan itulah kita kalah”
Hari hari terakhir Khalid dihabiskan di Syam(Syiria).Sewaktu beliau sakit tenat, beliau berkata :
“umur saya sekarang 58 tahun.Saya sudah menyertai lebih dari 100
peperangan. Saya terlibat secara langsung dalam peperangan besar seperti
perang Muktah, berperang dengan Parsi, melawan tentera Rom di Yarmuk,
merebut Damsyik dari Rom, menakluki Mesir dan menawan Baitul Maqdis dari
kuasa Kristian.”
“Saya bercita-cita mahu mati syahid, tetapi mengapa saya masih hidup?
impian saya untuk mati syahid tidak tercapai, saya tidak mahu mati di
atas katil begini, hanya orang pengecut saja yang mati begini” kata
Khalid dengan nada penuh kesayuan.Air matanya mengalir membasahi
pipinya.
“Saya tidak mahu mati diatas katil, saya mahu mati di medang perang!” Pahlawan Pedang Allah itu terus merintih hiba.
Tiba-Tiba Abu Zanad berkata untuk menenangkan Khalid Al-Walid:
“Saudara tidak boleh mati di medan perang dan saudara juga tidak boleh tewas apabila bertarung dengan musuh”.
“Mengapa?” Tanya Khalid.
“Nabi Muhammad mengurniakan kepada saudara gelaran pahlawan pedang
Allah.Baginda juga mendoakan saudara menang dalam setiap
peperangan.Disebabkan itulah saudara tidak boleh mati dibunuh oleh orang
kafir.Saudara juga tidak boleh tewas dalam peprangan kerana doa Nabi
Muhammad dimakbulkan Tuhan” kata Abu Zanad dengan lembut. Khalid terdiam
dengan kata-kata itu.
Akhirnya pahlawan pedang Allah itu menghembuskan nafasnya yang terakhir
dengan hajatnya untuk syahid tidak kesampaian.Pemergiannya diratapi oleh
seluruh umat islam.
Kata Adi bin hatim :
“Pemergian Khalid adalah satu kehilangan besar kepada umat islam.Nama
Khalid bin Al-Walid dapat mengalahkan musuhnya sebelum peperangan
bermula!”
Al-Fatihah untukmu wahai Saifullah ….